Sunday, April 13, 2014

Mengapa Tok Guru Nik Aziz menangis?


SECARA relatifnya seseorang yang tinggi tahap keimanannya dia senantiasa merasakan dirinya berdosa dengan ALLAH.

Dia akan menginsafi akan kelemahan dirinya, maka dia terus beristighfar kepada ALLAH sebanyak mungkin agar ALLAH memaafi dosa-dosanya baik kecil atau besar, sedar atau tidak. Itulah tahap seorang bertaraf waliyullah.

Tok Guru menundukkan muka sambil menahan sebak semasa memberi tazkirah ringkas selepas Subuh Sabtu lalu.

Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menangis sambil meminta rakyat Kelantan memaafkan segala kesalahannya semasa menjadi MB Kelantan selama 22 tahun.
“Maafkan segala kesilapan saya selama saya pimpin Kelantan,” demikian rayu Nik Aziz diselangi tangisan memilukan.
Beliau juga mengaitkan sakit yang dihadapi kini mungkin kerana kifarat ALLAH ke atasnya.
“Ni sakit saya mungkin ALLAH nak kifarat dosa saya atas apa kesalahan yang saya buat selama pimpin Kelantan.”

Tok Guru kini keuzuran kerana menanggung sakit prostat sehinggakan terpaksa membawa beg plastik untuk ke mana-mana.

Pernyataan ikhlas Tok Guru itu sungguh menyayu dan menyebakkan hati.
Kita merasakan betapa humble dan rendahnya diri beliau sebagai seorang hamba ALLAH.
Siapa yang berani mengatakan dia ada kesalahan selama memerintah Kelantan? Kalau pun ada ia adalah kelaziman dihadapi penguasa seperti beliau.

Beliau tidak perlu menyesali kerana kehebatan syiar Islam yang dibawanya mengkagumkan semua orang.
Penampilan dirinya sebagai murrabi dan pemimpin disanjung semua lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit, anutan agama dan bangsa.
Beliau dikagumi oleh semua orang. Yang mencium tangannya tanda hormat, bukan saja orang Melayu tetapi India, Cina dan Siam juga.
Tentunya orang akan beranggapan tidak perlu beliau membuat permohonan maaf begitu dan sedih atas apa dilakukan.

Tetapi itulah Tok Guru Nik Aziz yang tetap merasakan dirinya sebagai tidak maksum bila-bila masa.
Jawatan, penghormatan dan status tinggi yang didudukinya tidak pernah mengasingkan dia menjadi seorang yang sombong dan ego. Dia tetap menganggap dirinya sebagai abdi ALLAH. Inilah kemuliaan beliau kepada saya.
Saya merasakan permohonan diselai tangisan itu bukan penyesalan berat baginya, tetapi ia membawa maksud lain.
Tangisan dan pengakuan ikhlas itu adalah simbolik yang perlu ditafsirkan secara mendalam. Tangisan dan pengakuan itu kena diterjemahkan oleh setiap orang, khasnya mereka yang mengakui sayang dan kasih kepadanya.

Bukan rakyat Kelantan tetapi para pemimpin Pas Kelantan khususnya.
Apakah beliau  menangis setelah menyedari apa yang pernah diberitahu (diingatkan) kepadanya selama ini telah menjadi kenyataan?'

Atau ada keputusan-keputusan berhubung politik yang tidak tepat dibuatnya? Mungkin nasihat-nasihat politik dan juga urusan pentadbiran yang diberitahu sebelum ini, semasa beliau jadi MB, tetapi tidak sempat ditangani dengan jaya telah meninggalkan kesan jiwa buatnya.
Atau pun apa yang beliau harapkan selepas meninggal Kota Darul Naim tidak kesampaian? Itukah puncanya maka Tok Guru menangis?

Mereka yang bersamanya serta menghayati pentadbirannya selama 22 tahun, tahu apa yang menyentuh hati dan perasaanya.
Orang luar dan rakyat Kelantan tidak dapat meneka apakah yang memilukan hati sehingga air jernihnya gugur ke tikar di dalam masjid kecualilah mereka yang mengelilingi hidupnya? Pasti Ahmad Yaakub, Mohd Amar Nik Abdulllah, Husam Musa dan lain-lain memahami erti tangisan Tok Guru itu.

Kalau tangisan itu bersifat peribadi, Tok Guru boleh menangis di dalam kamar khalwatnya bersendirian.
Dia boleh bermunajaknya kepada Tuhan secara senyap. Tetapi apabila dia menangis di hadapan umum, selepas solat Subuh, sudah pasti tangisan itu untuk diterjemah oleh semua orang.
Elok mereka yang mengambil alih pemerintahan daripadanya memahami dan mentafsirkan erti tangisan tokguru itu.

Ustaz Ahmad Yaakub dan segenap pimpinan kerajaan dan parti kini kena menganalisa apa yang berlaku.
Ambillah setitik air mata Tok Guru dan kajilah dalam makmal hati masing-masing. Ada sesuatu yang sangat mengilankan kalau sebab musabab mengapa Tok Guru menangis Sabtu lalu itu tidak dapat difahami.
Jangan biarkan Tok Guru menangis lagi kalau kita semua sayangnya. Sudah cukup kita menyeksanya. Setitik airmatanya perlu dilunasi.

Tidak mungkin Tok Guru akan menyebut satu persatu apa yang menjadi kekesalan atau apa yang tidak memuaskan hatinya. Tidak! Tetapi kita semualah kena arif dan menghayati serta menganalisa akan erti tangisan itu.

Tangisan Tok Guru seperti juga kata-katanya mempunyai mantik paling dalam hanya jauhari memahami manikam maksud dan natijahnya.
Sekiranya kita semua gagal menghentikan sendu dan aliran air mata Tok Guru, khasnya penggantinya dan barisan pemimpin dalam kerajaan dan parti kini, maka semua orang berdosa apa lagi sekiranya tangisan Tok Guru itu disebabkan kelemahan kepimpinan kerajaan dan partinya.
Maka pemegang amanat hari ini adalah penanggungjawabnya kepada setiap titis air mata Tok Guru yang gugur ke lantai masjid.

Fahamilah tangisan Tok Guru dan jangan ianya dianggap sebagai air mata seorang insan yang sudah berada di hujung senja yang merindui kematian.
Hati Tok Guru tidak tersentuh sekiranya tiada apa-apa yang menyentuh hatinya.
Hentilah tangisan Tok Guru dengan semua pihak bermuhasabah diri masing-masing. Keriangan kepada Tok Guru ialah dengan berpadunya pimpinan Pas dan kerajaan di Kelantan akan utuh selama-lamanya.-MSO/SH.

kredit: http://www.suaragenerasibaru.com/?p=110486

No comments:

Post a Comment