Saturday, February 16, 2013

Gejala Rempit



KUALA LUMPUR 4 Mei - Gejala lumba haram yang begitu sinonim dengan istilah 'merempit' semakin kronik dan sikap masyarakat menuding jari kepada pihak penguat kuasa memburukkan lagi keadaan.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk berkata, kegiatan tersebut bukan baru dan kegagalan menanganinya disebabkan oleh sikap masyarakat itu sendiri.
''Kita seringkali menuding jari kepada kerajaan melalui agensi penguatkuasaan seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) apabila menyentuh mengenai isu mat rempit.
''Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah untuk membanteras gejala ini, malah ia sewajarnya dipuji, namun masyarakat juga perlu berperanan untuk bersama-sama menanganinya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas isu mat rempit menerusi operasi besar-besaran yang dilaksanakan oleh pihak polis trafik dan JPJ bagi membanteras gejala lumba haram di ibu negara semalam.
Pada operasi itu, kira-kira 500 mat rempit telah diperiksa dengan operasi sama turut diadakan di tiga negeri lain iaitu Perak, Pulau Pinang dan Selangor.
Menurut Azeem Fazwan, lazimnya, faktor utama kegiatan merempit disebabkan golongan itu berasa bosan dan mahu mencari keseronokan ekstrem dalam hidup.
Bagaimanapun, beliau berkata, apa yang dibimbangi ialah faktor tersebut kemudiannya mengundang kepada masalah jenayah lain seperti pergaduhan, merompak, ragut, rogol dan sebagainya.
Katanya, dalam hal ini, ibu bapa merupakan institusi utama yang perlu dipersalahkan kerana tidak memantau pergerakan anak-anak sekali gus mencerminkan kegagalan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab keibubapaan.
''Selain masyarakat, ibu bapa juga perlu proaktif membimbing anak masing-masing terutama bagi aspek akhlak supaya gejala seperti ini dapat dibendung.
''Sudah tentu kita tidak mahu lihat lebih ramai 'jaguh' handalan menemui ajal di atas jalan raya dengan sia-sia, justeru, langkah bersepadu perlu dimulakan dari sekarang," katanya.
Azeem Fazwan berkata, aktivis sosial termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu memainkan peranan untuk mencapai matlamat menangani gejala merempit.

SUMBER:  http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0505&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm#ixzz2L4WdzlyR 
© Utusan Melayu (M) Bhd 
 Ulasan PT

Gejala Mat rempit tidak boleh dipandang ringan oleh semua lapisan masyarakat kerana ia menjejaskan imej golongan remaja dan imej negara. Ia selalunya berlaku disebabkan anak-anak muda yang terlalu mengikut perasaan dan tiada pendirian dalam kehidupan sosial mereka.

Gejala ini juga memberi kesan kepada ekonomi negara contohnya kepada sektor pelancongan, para  pelancong mungkin berasa tidak selamat ketika berada di jalan raya kerana mereka bimbang akan bertembung dengan mat rempit ini.

Ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting dalam memerhatikan tindak tanduk anak-anak mereka dalam pergaulan harian mereka. Sebelum ianya berlaku dengan lebih serius, pihak-pihak yang terlibat harus mencari jalan keluar bagi membendung gejala ini supaya ianya tidak mencapai tahap yang begitu serius.








No comments:

Post a Comment